Hubungan Teratak dan Komuniti

Hubungan Komuniti Kampong Ayer dan Teknologi Teratak

Teratak mempunyai hubungan dan peranan penting dalam komuniti Kampong Ayer. Ia merupakan salah satu tempat perkumpulan dan sosialisasi bagi komuniti Kampong Ayer sekaligus merapatkan hubungan silaturrahim antara mereka. Kebiasaannya, teratak dibina ketika acara perkahwinan diadakan. Hubungan dan peranan teratak dalam menyatupadukan komuniti Kampong Ayer jelas dilihat ketika proses pembinaannya. Teknologi Teratak menguatkan lagi semangat bergotong-royong, tolong-menolong dan rasa tanggungjawab dalam komuniti tersebut.Teratak juga mempunyai hubungan dengan komuniti Kampong Ayer yang mana komuniti ini penentu kepada nilai-nilai Teknologi tersebut mengikut kepercayaan, kemahiran dan kebudayaan mereka.


Nilai-Nilai Simbolik
Terdapat nilai-nilai simbolik yang tersirat dalam pembinaan teratak terutama bagi  jumlah penyucuk dan gelagar. Jumlah penyucuk dan gelagar harus bernombor ganjil kerana menurut kepercayaan orang tua Melayu Kampong Ayer, angka atau kiraan ganjil menandakan simbol ‘hidup’ yang membawa kepada kebaikan. Manakala, angka atau kiraan genap merupakan simbol ‘Mati’ yang membawa kepada keburukan. Teratak juga menjadi satu simbolik atau identiti bagi komuniti Kampong Ayer ketika majlis perkahwinan berlangsung.

Selain daripada itu, pemasangan penyusunan bagi gelagar dan penyucuk juga hendaklah dimulakan dari kanan ke kiri yang mana mengikut kepercaayaan orang Islam bahawa setiap pekerjaan haruslah dimulakan dengan langkah kanan. 

 
Nilai Ekspresif
Kewujudan teratak menunjukkan nilai kesatuan satu komuniti. Pembinaan teratak yang cuma bersifat dibina sementara menunjukkan sifat kesefahaman di kalangan komuniti Melayu Kampong Ayer- (rujuk kembali prosedur pembinaan teratak). 

Melalui senibina teratak yang menggunakan bahan-bahan alami hutan menunjukkan lagi nilai keindahan dan keaslian sesebuah teratak.

Alam persekitaran memainkan peranan yang penting bagi membantu dalam perolehan bahan-bahan binaan bagi pembinaan teratak. Antara contoh bahan semula jadi yang terdapat di persekitaran perairan Sungai Brunei ialah pokok-pokok nibung dan sebagainya.



Nilai Kebudayaan
Jelas dilihat daripada fungsi dan kepentingan teratak iaitu pusat bagi acara berjaga-jaga dalam majlis perkahwinan, menampakkan budaya atau cara hidup komuniti Kampong Ayer yang berpegang pada sifat bergotong-royong, bersepadu dan tolong-menolong (bedangsanak). Oleh yang demikian teknologi teratak menunjukkan nilai budaya komuniti yang suka berkomunikasi, beramah mesra dan akrab.



Nilai Sosial
Teratak berfungsi dalam melibatkan dan mengumpulkan  komuniti Kampong Ayer dalam memeriahkan majlis atau acara perkahwinan yang diadakan. Komuniti Kampong Ayer dapat berhubung antara sesama mereka yang hadir di majlis perkahwinan yang akan mewujudkan hubungan harmoni serta melahirkan semangat hidup bersatu padu dalam kehidupan komuniti Kampong Ayer. Selain itu, komuniti Kampong Ayer kaya dengan sifat saling bantu-membantu dalam pembinaan teratak. Komuniti Kampong Ayer yang mempunyai kemahiran akan sama-sama menyumbangkan atau menghulurkan sumber tenaga mereka dalam pembinaan teratak.